SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan para pemimpin supaya tidak menghampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan mereka yang terdahulu terutama perlakuan rasuah.
Baginda bertitah rakyat sudah terlalu lemas dan jijik melihat perlakuan rasuah yang merupakan barah dan menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.
“Generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah.
“Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya, dan skandal-skandal kewangan yang dilapor berlaku, telah mencontengkan arang di wajah negara; keaibannya ditanggung dengan harga yang mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar. Baca, tafsir, fahami dan hadam suara rakyat yang disampaikan melalui kertas undi,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Titah baginda rakyat juga mengimpikan pemerintahan adil dan saksama, berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, badan kehakiman berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak, tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.
“Demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera, para pemimpin perlu membaca mesej rakyat secara tepat.
“Setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu. Rakyat yang semakin celik huruf, mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan,” titah baginda.
Titah baginda lagi rakyat kini semakin lantang mendedahkan isu rasuah, gigih menolak pemimpin berimej rasuah dan menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga serta pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.
Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan sebuah kerajaan yang berani dan tegas menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah, pengagihan kekayaan lebih saksama, peluang pekerjaan lebih terjamin, taraf hidup lebih baik, tadbir urus lebih telus dan pemimpin yang lebih amanah.
Selain itu, titah baginda rakyat mengimpikan perkhidmatan sosial penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan serta kemudahan kesihatan yang mudah diakses.
Begitu juga kemudahan pengangkutan awam yang meringankan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan sosial.
“Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama diketuai Mej Muhammad Fariq Zainul Abidin dan dipimpin Kol Abdul Rahim Hamzah terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro Taiping.
Kawalan Kehormatan Utama diiringi pancaragam daripada Brassband KD Pelanduk yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut.
— BERNAMA