Suami kerat mayat isteri didakwa atas tuduhan membunuh

0
172

SEORANG lelaki yang mengaku membunuh isterinya dengan mayat wanita itu ditemui di sebuah taman di Paris, Perancis didakwa, semalam atas tuduhan membunuh, kata peguamnya dan pendakwa raya.

Peguam berkenaan, Dominique Beyreuther-Minkov berkata kepada pemberita, lelaki berasal dari Montreuil itu menafikan mempunyai niat untuk membunuh isterinya.

Suspek yang ditahan polis sejak pagi Khamis membuat laporan bahawa isterinya hilang pada 3 Februari lalu.

Dia turut memuat naik hantaran mengenai kehilangan isterinya itu di media sosial pada 31 Januari.

Saluran berita Perancis, BFMTV minggu lalu melaporkan bahawa polis curiga susulan apa yang diceritakan oleh suspek disifatkan sebagai tidak konsisten.

Pada 13 Februari lalu, pekerja di sebuah taman yang juga lokasi tumpuan keluarga berkelah dan berjoging menemui beg plastik mengandungi bahagian bawah anggota badan mangsa termasuk pehanya di taman Buttes-Chaumont, dekat timur laut Paris.

Operasi pencarian pada hari berikutnya, menemukan sebahagian lagi anggota badan wanita itu termasuk kepalanya yang kemudian dikenal pasti menggunakan cap jari.

Pada 17 Februari lalu, polis telah membuka kertas siasatan bagi dakwaan membunuh, selain tindakan memotong dan menyembunyikan mayat itu, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan lelaki itu, penyiasat dalam kes itu telah menilai semula dan percaya perbuatan itu bukan sesuatu yang dirancang.

“Anak guam saya yang dalam kekecewaan telah menjelaskan secara manusiawi sebanyak yang boleh,” kata Beyreuther-Minkov.

Beliau turut memberitahu, pasangan itu telah berkahwin selama 26 tahun dan mempunyai tiga anak.

Sementara itu, peguam kepada mangsa dan anak-anaknya memberitahu AFP, ahli keluarga mereka masih terkejut dan bingung mengenai kes itu.

Untuk rekod, mengikut data Kementerian Dalam Negeri, bilangan kes pembunuhan membabitkan wanita di Perancis meningkat sebanyak 20 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dengan 122 orang wanita dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here