Pengeluaran KWSP: ‘Wajar pertimbang permohonan pencarum memerlukan termasuk M40’

0
232

BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, meminta kerajaan agar mempertimbangkan permohonan pencarum yang terpaksa membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Parlimen Kuala Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) itu berpandangan, langkah itu wajar bagi isi rumah yang benar-benar memerlukan serta berdepan krisis kewangan, meskipun golongan M40.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, ia harus dilaksanakan secara bersasar dengan syarat amat ketat.

“Kalau ketua isi rumah benar-benar memerlukan dan mempunyai simpanan dalam KWSP, ia adalah wajar kerana duit itu adalah wang mereka.

“Pada saat mereka memerlukan, kita (perlu) izinkan tetapi harus bersasar dengan syarat sangat ketat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hijau Lestari sempena penanaman 25,223 pokok siantan di Forest Park, Bandar Hillpark, Puncak Alam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat.

Namun, Dr Dzulkefly berkata, cara itu masih tidak akan menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh, sebaliknya kerajaan perlu mengambil langkah lebih mampan dan ke hadapan dalam menanganinya.

“Saya rasa ada ihsan serta belasnya rahmah Kerajaan Madani untuk mengizinkan ini, dan ia tidak boleh dijadikan suatu yang bersifat ‘across the board’.

“Saya tidak menyokong apapun langkah mengorbankan simpanan usia tua.

“Kalau itu menyelamatkan atau lebih daripada itu, adalah penting untuk mereka mengatasi masalah krisis kewangan semasa,” katanya lapor BH.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa dividen bagi pencarum daripada golongan miskin dan menengah, akan berkurangan jika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bagi mereka yang kaya serta berkemampuan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu membuat pilihan antara membenarkan pengeluaran khas KWSP kali kelima, atau membantu pencarum yang hampir bersara tetapi mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Beliau menegaskan, jika kerajaan bersetuju dengan langkah populis membenarkan pengeluaran KWSP, golongan miskin dan menengah yang akhirnya akan menanggung kerugian.

Perdana Menteri sekali gus mengumumkan kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan.

Bagi tujuan itu, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here