Keluarga mangsa tanah runtuh Batang Kali gesa kerajaan dedah laporan penuh

0
198

KELUARGA mangsa tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor menggesa kerajaan segera mengeluarkan laporan penuh mengenai insiden itu.

Wakil keluarga mangsa, Loh Teng Shui, berkata sehingga kini mereka masih menunggu untuk mendapatkan jawapan mengenai apakah yang sebenarnya berlaku.

“Kami tidak tahu jabatan mana yang hendak dituju dan pihak berkuasa mana untuk dihubungi (untuk mendapatkan maklumat lanjut).

“Kami berharap kerajaan dapat menyediakan saluran yang betul untuk kami mendapatkan maklumat,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan penuh mengenai kejadian itu dijangka siap pada akhir bulan lepas.

Terdahulu, Nik Nazmi memaklumkan kementeriannya sudah membentangkan laporan awal mengenai tragedi itu kepada Kabinet pada 4 Januari lalu.

Katanya, laporan awal itu disediakan oleh Jabatan Mineral dan Goesains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Bagaimanapun, sehingga kini tiada laporan berhubung insiden itu didedahkan kepada umum.

Pada Disember lalu, polis memaklumkan siasatan kes berkenaan sudah hampir 90 peratus selesai, namun sehingga kini tiada kemas kini.

Teng Shui menerusi sidang media hari ini, dilaporkan berkata pihaknya juga tidak mendapat sebarang kemas kini berhubung hasil siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Apa yang berlaku kepada siasatan? Adakah laporan siasatan polis akan dikeluarkan bersama dengan laporan kejadian?

“Ini adalah perkara yang kami ingin tahu kerana kami tidak mempunyai saluran untuk mendapatkan sebarang maklumat.

“Kami hanya boleh membaca laporan berita dan akhirnya, kami berasa amat kecewa,” katanya.

Menurut Teng Shui, ahli keluarga mangsa bukan mahu mencari kesalahan sesiapa namun apa yang mereka mahukan hanyalah kebertanggungjawaban pihak berwajib.

“Kami juga dimakkumkan bahawa tapak perkhemahan itu mungkin berada di dalam kawasan ‘larangan’. Jika ya, kami sepatutnya tidak berada di sana (pada awal-awal lagi).

“Kejadian ini boleh dielakkan. Justeru, kami mahukan penjelasan menerusi laporan itu,” katanya.

Sementara itu, Teng Shui mendakwa beberapa kenderaan yang tidak mengalami kerosakan akibat tanah runtuh itu, semuanya mengalami kerosakan selepas ia ditunda keluar dari tempat kejadian.

Selain itu, katanya banyak barangan peribadi juga didapati hilang.

“Ini lebih menyukarkan kami. Sepatutnya ada SOP (prosedur operasi standard) yang betul mengenai cara mengendalikan kenderaan mangsa ketika bencana.

“Sebuah syarikat tunda malah mengenakan caj RM1,450 ke atas keluarga mangsa. Jumlah itu terlalu tinggi dan kami tidak rasa ia wajar kerana keluarga ini sudah mengharungi pelbagai kesulitan,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember itu membabitkan jumlah mangsa maut kedua terbesar selepas kejadian Kondominium Highland Towers runtuh pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, termasuk 13 kanak-kanak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here