Tiga remaja mengaku tidak bersalah rogol kanak-kanak 12 tahun

0
152

TIGA remaja bawah umur tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh masing-masing berusia 14, 16 dan 17 tahun membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh iaitu remaja berusia 16 tahun didakwa merogol kanak-kanak itu antara pukul 3 pagi hingga 1 petang pada 29 Januari lalu, lapor Sinar Harian.

Sementara dua remaja berusia 14 dan 17 dituduh secara berkumpulan merogol kanak-kanak sama pada pukul 11.30 malam 28 Januari lalu.

Kesemua tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Bahau.

Tertuduh berusia 16 tahun dituduh mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan ( Akta 574) manakala dua remaja yang melakukan perbuatan itu secara bersama dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Baharudin Bah Bam manakala dua tertuduh diwakili peguam masing-masing Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Datuk P. M Nagarajan manakala seorang lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh dan kes disebut semula pada 22 Mac ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here