Polis Kelantan tahan dua lelaki disyaki seludup beras, minyak masak

0
156

POLIS Kelantan menahan dua lelaki selepas dipercayai menyeludup beras dan minyak masak bersubsidi bernilai RM40,483 dalam serbuan berdekatan kedai runcit di Cherang Ruku dekat Pasir Puteh petang, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata menerusi Op Kontraban yang dijalankan pada 2.30 petang itu, pihaknya berjaya merampas 153 guni beras pelbagai jenama bernilai RM22,725 dan 44 kotak minyak masak bersubsidi berjumlah RM1,785.

“Sebelum serbuan, polis membuat pemerhatian ke atas dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan yang sedang memunggah kotak disyaki mengandungi minyak masak dari sebuah kereta Proton Waja.

“Pemeriksaan lanjut dalam premis menemukan dipercayai beras seludup pelbagai jenama dan kami tahan dua suspek iaitu seorang lelaki warganegara Thailand berusia 20-an dan lelaki tempatan berusia 30-an,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Istiadat Penganugerahan Pingat Negara bagi perkhidmatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) peringkat Kontinjen Kelantan yang disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Zaini Jass.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata hasil risikan awal kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam urusan penyeludupan beras dan minyak masak bersubsidi.

“Minyak masak berkenaan dibawa dari Besut, Terengganu untuk diseludup ke negara jiran kerana harganya yang tinggi dan mendapat permintaan yang banyak, manakala beras pula dibawa dari negara jiran menerusi pangkalan haram Jeram Perdah untuk pasaran tempatan.

“Dua lelaki berkenaan dan beras serta minyak masak diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan minyak masak mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata dalam tempoh sebulan Januari tahun ini pihaknya turut menahan 1,625 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil kuda, heroin, syabu dan ubat batuk bernilai lebih RM11 juta.

“Tangkapan berkenaan membabitkan mereka berusia 15 hingga 50-an termasuk lima pelajar sekolah di bawah kesalahan termasuk mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 39A (2), Seksyen 6, Seksyen 30(3) dan Seksyen 12(2) ADB,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here