Polis tahan 1,625 orang kes dadah di Kelantan sepanjang Januari

0
184

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan menahan seramai 1,625 orang atas pelbagai kesalahan sepanjang Januari tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya juga merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil kuda, heroin, syabu dan ubat batuk bernilai lebih RM11 juta yang boleh digunakan seramai 606,079 orang penagih dadah.

Katanya, tangkapan berkenaan membabitkan mereka berusia antara 15 hingga 50-an termasuk lima pelajar sekolah di bawah kesalahan termasuk mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 39A (2), Seksyen 6, Seksyen 30 (3) dan Seksyen 12(2) ADB.

“Pelajar sekolah yang ditangkap berusia antara 15 hingga 18 tahun yang disyaki terbabit dalam kes heroin, ubat batuk, air ketum dan sebagainya.

“Pembabitan pelajar sekolah ini perlu diberi perhatian bukan saja oleh PDRM, supaya mereka tidak terdedah dengan gejala yang tidak sihat ini.

“Untuk membendung masalah ini, polis akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk agensi anti dadah kebangsaan (AADK) dan berharap mereka sentiasa memberi maklumat kepada kita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Istiadat Penganugerahan Pingat Negara bagi perkhidmatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) peringkat Kontinjen Kelantan yang disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zaini Jass.

Muhamad Zaki berkata, menangani masalah dadah adalah fokus utama polis Kelantan dengan melaksanakan tindakan berterusan dan sedaya upaya untuk mengekang penyeludupan dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Kita menyeru masyarakat dan agensi lain untuk terus membantu polis dengan memberi maklumat terutama mereka yang berada berdekatan sempadan negara,” katanya, lapor Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here