Bapa didenda RM10,000 sebabkan kematian bayi tiga bulan

0
133

SEORANG bapa didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan, awal bulan ini.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, ejen insurans pada prosiding pendengaran fakta kes dan hukuman hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta cagaran RM5,000 dengan seorang penjamin selain diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam bermula hari ini.

Pada 31 Jan lalu, Amirul Hakim mengaku bersalah atas pertuduhan dengan cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya itu akibat kecederaan di bahagian kepala, di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak di sini, pada 4.15 petang, 3 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 15 Nov 2022, jam 3 petang, ketika tertuduh sedang solat dalam sebuah bilik, bayinya yang berada di dalam buaian terhempas ke lantai selepas spring buaian itu terputus dan doktor yang merawat mangsa mengesahkan bayi berkenaan patah paha kanan serta diberi ubat demam.

Selepas kejadian itu, tertuduh membawa anaknya pergi berurut dan kaki mangsa boleh diluruskan, namun mangsa diserang sawan sebanyak dua kali iaitu pada 30 Nov 2022 dan 3 Jan lalu.

Semasa diserang sawan pada 3 Jan, bayi itu didapati lembik serta tiada maklum balas dan semasa tertuduh membawa anaknya ke klinik, tangan kiri tertuduh terlanggar grill besi dan kepala anaknya terkena bingkai kayu pintu hadapan rumah. Doktor di klinik itu yang membuat bantuan awal pernafasan (CPR) mengesahkan anaknya kebiruan serta perlu segera dirujuk ke hospital.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tunku Azizah, Cheras, dengan ambulans lalu dimasukkan ke Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) dan disahkan mengalami patah tulang selangka kanan selain mempunyai kesan gigitan pada pipi, sebelum meninggal dunia pada 6.22 petang hari sama (3 Jan).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta ibu bapa lain supaya tidak cuai dalam menjaga anak-anak di rumah selain berhati-hati semasa mengendalikan anak kecil agar kejadian sedemikian tidak berulang.

Amirul Hakim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda bawah RM10,000 kerana dia menanggung isteri dan ibu bapanya selain mengakui kesilapannya itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here