Juruteknik mangsa pelaburan tidak wujud, rugi RM226,948

0
120

SEORANG juruteknik mendakwa kerugian RM226,948 akibat menyertai pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan lumayan.

Mangsa berusia 59 tahun tampil membuat laporan polis jam 10.20 pagi semalam setelah menyedari dirinya ditipu skim pelaburan yang disertainya sejak Jun tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata mangsa diperkenalkan oleh seorang individu kepada dua aplikasi pelaburan berkenaan yang dikenali dengan nama ‘Huobi’ dan ‘Eccoin’.

Katanya, individu berkenaan mendakwa dia sendiri turut membuat pelaburan dan mendapat untung, lalu menarik perhatian mangsa menyertai pelaburan berkenaan.

“‘Eccoin’ platform pelaburan menggunakan mata wang dollar Amerika Syarikat (AS) dan mangsa telah memuat naik aplikasi untuk memantau naik turun saham. Bermula 22 Jun hingga 19 Ogos 2022, pengadu membuat 15 transaksi wang ke dalam tiga akaun bank melibatkan jumlah keseluruhan RM226,948.

“Menurut pengadu lagi, jumlah keuntungan yang sepatutnya diterima mengikut pelaburan yang dibuat adalah AS$154,272.62 bersamaan RM647,945,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Abang Zainal menambah, mangsa juga memaklumkan, dia dimasukkan ke dalam satu kumpulan sembang WhatsApp yang diurus seorang individu yang turut berkongsi nombor akaun bank miliknya dalam kumpulan sembang itu untuk tujuan membayar wang pelaburan.

Pada 17 Ogos 2022, mangsa menerima e-mel dari pengurus pelaburan mendakwa platform ‘Eccoin’ mempunyai masalah dan telah digodam dan disebabkan itu, akan dinaik taraf ke platform dipanggul ‘Firechain’.

“Namun sehingga hari ini, pengadu mendakwa belum menerima apa-apa pulangan daripada pelaburan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here