Perbicaraan kes Ebit Liew tangguh kepada Mei ini

0
167

MAHKAMAH Majistret Tenom, hari ini, membenarkan permohonan peguam bela meminta perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

Majistret, Nur Asyraf Zolhani, memaklumkan perbicaraan bakal berlangsung pada 11 sehingga 12 Mei depan.

Peguam bela, Ram Singh, ketika sesi penghujahan menyatakan permohonan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya membuat semakan dokumen berkaitan 90 imej lucah di Mahkamah Tinggi berkaitan langkah memanggil Inspektor Yip Chang Ching sebagai saksi pendakwaan ketujuh.

Mahkamah membenarkan Chang Ching memberi keterangan, namun menyatakan peguam bela turut mempunyai hak meminta masa munasabah bagi meneliti dokumen itu, selain memeriksa mana-mana saksi berhubung dengan dokumen itu.

Nur Asyraf berkata, demi kepentingan keadilan bersama, mahkamah membenarkan penangguhan prosiding sehingga semakan selesai didengar dan diputuskan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, menyatakan pihak pendakwaan tiada bantahan dan bersetuju dengan cadangan mahkamah.

Dalam prosiding sebelum ini, Zahida memaklumkan kepada mahkamah, bahawa imej yang ada di dalam pemacu kilat mengandungi imej tertuduh dan pengadu yang bersifat seksual, selain terdapat 90 imej lucah di dalamnya.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021 lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here