Dua keldai akaun didenda RM6,500

0
210

MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atas kesalahan menyembunyikan wang sebanyak RM17,000 milik wanita warga emas dalam akaun bank miliknya.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap M. Mizwan Omar, 43, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Dalam penghakimannya, Mazana memerintahkan tertuduh yang juga bapa kepada dua anak dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, M. Mizwan didapati menyembunyikan harta iaitu wang RM17,000 milik Hafshah Muhammad, 64, dalam akaun Maybanknya dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia diperoleh dengan cara penipuan.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Ayer Keroh pada 26 Julai 2017 yang didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Mengikut fakta, mangsa (Hafshah) meminjamkan RM17,000 kepada kenalannya lelaki warga United Kingdom (UK) dikenali Franklin Marcelo Scott yang dikenali melalui laman sosial Interpal.net.

Atas dasar percaya, mangsa memindahkan wang ke akaun Maybank rakan kenalannya itu (atas nama tertuduh) di Malaysia seperti diarahkan.

Disebabkan tidak menerima sebarang bayaran sehingga Disember 2017 serta semakan mendapati alamat laman sosial Skype digunakan Franklin Marcelo Scott berada di Malaysia, mangsa membuat laporan polis kerana mengesyaki ditipu.

Tertuduh mengaku akaun bank itu miliknya tetapi kad juruwang automatik (ATM) serta butiran akaun diberi kepada seorang wanita untuk dipinjamkan.

Siasatan polis mengesahkan terdapat kemasukan wang mangsa berjumlah RM17,000 pada 26 Julai 2017.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, ibu tunggal, Suriati @ Siti Rohani Zulkefli, 39, didenda RM3,000 atau enam bulan penjara selepas disabitkan atas kesalahan menyembunyikan wang milik jururawat yang juga mangsa penipuan ‘Parcel Scam’ pada 2018.

Dia didakwa dengan curang menyembunyikan wang RM35,000 milik mangsa, Cheng Phooi Sun, 31, dalam akaun CIMB miliknya, di cawangan bank itu di Kompleks Al Azim, Bukit Baru, di Melaka, pada 4 Jun 2018, antara jam 10.22 pagi hingga 12.57 tengah hari.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha sementara M. Mizwan dan Siti Rohani yang juga pekerja kilang, masing-masing diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek dan Omar Zulkarnain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here