Kerajaan guna SPRM sebagai alat politik – Hamzah

0
183

KERAJAAN didakwa menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik menekan Bersatu selepas akaun parti itu dibekukan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau kecewa dengan tindakan kerajaan itu dan mendakwa ia bertujuan membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Bersatu juga mengarahkan pemimpin dan pegawai parti itu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada laporan berita mengenai pembekuan akaun bank bersatu oleh pihak SPRM.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada parti berkenaan.

Pada masa sama katanya, Bersatu juga yakin rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

“Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

“Semua ahli-ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus
beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Bersatu.

Beliau berkata, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

Menurutnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here