CPI bawah 50 tunjukkan M’sia gagal atasi rasuah

0
196

SEMBILAN kajian pada peringkat global digunakan Transparency International (TI) untuk menentukan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang merosot daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata tahun lalu.

Kajian global yang diambil kira untuk memberi skor CPI itu ialah Indeks Transformasi Bertelsmann Stiftun serta Unit Perisikan Ekonomi Perkhidmatan Risiko Negara yang masing-masing meletakkan Malaysia berada pada skor 49 dan 55 pada tahun lalu.

Selain itu, Penilaian Risiko Negara Wawasan Global (59), Tinjauan Pendapat Eksekutif Daya Saing Tahunan Dunia Pusat Daya Saing Dunia IMD (40), Perundingan Risiko Politik dan Ekonomi Perisikan Asia (37), Panduan Risiko Negara Antarabangsa Kumpulan PRS (41), Tinjauan Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (47), Tinjauan Pakar Indeks Undang-Undang Peraturan Keadilan Dunia (45) dan Varieti Demokrasi atau V-Dem (49).

Keseluruhan markah Malaysia adalah berjumlah 422 mata, menjadikan agregat CPI negara sebanyak 47 mata.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, berkata skor CPI itu diambil menerusi kajian sekunder dilakukan badan dunia dan apabila kajian berkenaan dikumpul, ia diaudit oleh pihak berkuasa bersama Eropah, yang akan menentukan kajian itu mengikut skala 0-100 mata.

Dr Muhammad Mohan

Beliau berkata, setiap negara perlu mempunyai sekurang-kurang tiga kajian untuk melayakkan mereka berada dalam kelompok 180 negara berkenaan.

“Kita tidak perlu melihat ranking (Malaysia di kedudukan ke-61) kerana ada negara yang tiada jumlah kajian mencukupi dan tidak tersenarai, sekali gus memperbaiki kedudukan negara.

“Yang utama ialah skor atau mata diperoleh dan berdasarkan itu, jelas kedudukan Malaysia sebenarnya tidak bagus. Lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.

“Malah pada pandangan saya, apabila berada di bawah 50, itu menunjukkan negara ini sudah gagal, ia berada di bawah paras purata yang perlu dikekalkan,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad berkata, skor 47 yang diterima Malaysia juga merisaukan dan memerlukan tindakan lebih berkesan daripada kerajaan serta pihak berkepentingan lain.

“Keperluan utama adalah mengenai kehendak politik dan walaupun Perdana Menteri hari ini bercerita mengenai ketelusan serta tatakelola yang baik, ia perlu ditonjolkan dalam bentuk tindakan.

“Kita juga tidak sepatutnya gembira dengan ranking Malaysia kerana terdapat negara lain mengalami kejatuhan kedudukan, misalnya Singapura, Indonesia, Myanmar juga dilihat tidak berada di kedudukan baik pada tahun lalu,” katanya lapor BH.

Dalam CPI 2022, pada peringkat ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan tangga kelima daripada 180 negara.

Negara-negara Skandinavia terus mendominasi kedudukan indeks, dengan Denmark, Finland, Norway, Sweden bersama New Zealand dan Singapura menjadi antara 10 negara terbersih. Di kedudukan terbawah indeks, prestasi terburuk ialah Venezuela, Syria, Sudan Selatan dan Somalia.

Daripada skor 53 pada 2019, skor Malaysia jatuh enam mata dalam tempoh tahun lalu dan ia adalah penurunan signifikan secara statistik yang menunjukkan negara ini sedang menuju ke ‘arah yang salah’ dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam.

Menurut TI-M, antara punca skor Malaysia merosot adalah kurangnya kemahuan politik dalam memerangi rasuah institusi, seperti dana terlalu besar dalam pakej rangsangan COVID-19, lantikan politik, keengganan untuk bertegas dalam menangani lebihan kos serta kegagalan tadbir urus yang didedahkan Ketua Audit Negara, dan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang perlahan.

Selain itu, badan berkenaan turut menggariskan punca pembaharuan institusi yang terhenti seperti kegagalan empat kerajaan terdahulu dalam membentangkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here