Hutang pinjaman peribadi antara punca ramai Melayu bankrap

0
242

HUTANG pinjaman peribadi, sewa beli perniagaan dan pinjaman perniagaan, yang gagal dilunaskan menjadi faktor utama yang menyebabkan rakyat negara ini jatuh bankrap sejak lima tahun lalu.

Menurut laporan BH Online, faktor penyumbang itu berdasarkan kepada 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi sejak 2018.

Mengikut statistik, sebanyak 42.24 peratus (20,754) kes kebankrapan adalah disebabkan pinjaman peribadi, diikuti sewa beli kenderaan (14.39 peratus, 7,072 kes) dan pinjaman perniagaan (14.12 peratus, 6,936 kes).

Selain itu, pinjaman perumahan (9.47 peratus, 4,653 kes), hutang kad kredit (8.01 peratus, 3,936 kes), keberhutangan lain (5.29 peratus, 2,599 kes), penjamin korporat (2.52 peratus, 1,238 kes) dan hutang cukai pendapatan (2.02 peratus, 994 kes).

Penjamin sosial (1.13 peratus, 557 kes), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)(0.62 peratus, 307 kes) dan biasiswa/pinjaman pelajaran (0.18 peratus, 87 kes).

Pada tahun lalu saja, sebanyak 5,695 kes kebankrapan ditadbir Jabatan Insolvensi, sedikit penurunan berbanding 6,554 kes yang dicatatkan pada 2021.

Pada 2020, jumlah kes bankrap yang ditadbir jabatan itu adalah 8,351 kes, 12,051 kes pada 2019 dan 16,482 kes pada 2018.

Selain itu, mereka yang berusia antara 35 dan 44 tahun adalah yang paling ramai diisytiharkan bankrap, iaitu 37.57 peratus atau 18,454 orang, diikuti yang berusia 45 hingga 54 tahun (25.95 peratus, 12,752 orang) dan 25 hingga 34 tahun (20.97 peratus, 10,302 orang).

Kumpulan usia lain adalah 55 tahun ke atas (14.57 peratus, 7,157 orang) dan bawah 25 tahun (0.5 peratus, 245 orang).

Lelaki lebih ramai diisytiharkan bankrap iaitu seramai 35,856 orang (72.98 peratus), berbanding wanita, seramai 13,254 orang (26.98 peratus).

Dari segi kaum, Melayu merekodkan jumlah kebankrapan tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu, iaitu 28,611 orang (58.23 peratus), Cina (12,083 orang, 24.59 peratus), India (4,280 orang, 8.71 peratus) dan lain-lain (61 orang, 0.12 peratus).

Jabatan Insolvensi bagaimanapun tidak mempunyai maklumat mengenai jenis pekerjaan bagi majoriti 41.79 peratus (20,532 orang) daripada mereka yang diisytiharkan bankrap kerana ia tidak dinyatakan dalam dokumen petisyen kebankrapan.

Berdasarkan rekod, 29.01 peratus (14,255 orang) daripada mereka adalah daripada sektor swasta, 14.34 peratus (7,048 orang) ialah peniaga, 9.06 peratus (4,449 orang) daripada sektor awam, 2.45 peratus (1,202 orang) golongan profesional dan 1.93 peratus (950 orang) bekerja sendiri, manakala selebihnya ialah mereka yang tidak bekerja, pesara kerajaan, pekerja sektor hiburan, pelajar dan ahli sukan.

Mengikut statistik ambang keberhutangan yang dimasukkan sejak Julai 2021, majoriti mereka yang bankrap, iaitu 63.67 peratus (5,453 orang) mempunyai hutang antara RM100,000 dan RM499,999.

Seramai 22 peratus (1,884 orang) mempunyai hutang antara RM50,000 dan RM99,999, 8.17 peratus (700 orang) antara RM500,000 dan RM999,999, 5.22 peratus (447 orang) RM1 juta ke atas dan selebihnya, 0.95 peratus (81 orang) RM30,000 hingga RM49,999.

Jabatan Insolvensi turut menyatakan, sebanyak 10,905 kes kebankrapan yang direkodkan mendapat pelepasan dan pembatalan melalui mahkamah dalam tempoh berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here