Dua beranak cedera, gerai cencaluk ranap dirempuh

0
206

SEORANG wanita tersepit di rak jualan manakala anaknya cedera selepas gerai jualan cencaluk dan belacan yang diusahakan mereka ranap dirempuh sebuah kereta di Jalan Klebang Besar, Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa Junaidah Maarof, 45, cedera di bahagian kepala, tangan dan kaki selepas tersepit antara kereta dan rak jualan manakala anak perempuannya Rabiatul Adawiyah Abu Bakar, 23, cedera di bahagian kaki.

Menceritakan hal itu, suami Junaidah, Abu Bakar Abd Aziz, 56, berkata, ketika kejadian dia yang berada di bahagian luar gerai sedang berbual dengan isteri sementara anaknya berada di dalam gerai.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Peugeot yang melalui jalan berkenaan terbabas dan merempuh gerai jualannya yang sudah berusia lebih 20 tahun itu.

“Saya sedang berbual dengan isteri dan anak perempuan, tetapi secara tiba-tiba kereta yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an langgar gerai saya dan bunyi dentuman memang kuat.

“Isteri saya tersepit dekat besi rak jualan yang mana rak itu berada di bahagian luar kedai, namun disebabkan rempuhan berkenaan rak itu termasuk ke dalam kedai sekali dan anak perempuan saya tercedera di bahagian kaki,” katanya lapor Astro AWANI.

Menurut Abu Bakar, dia yang pada mulanya tergamam dengan kejadian itu terus bertindak mengeluarkan isterinya selain pemandu kereta serta seorang penumpang wanita kenderaan berkenaan turut tersepit dan dibantu oleh orang awam.

“Kereta itu dari arah Klebang menghala ke Tanjung Kling dan nasib baik ketika kejadian ada pasukan bomba melalui kawasan ini dan terus memberikan bantuan.

“Isteri dan anak saya kemudian terus dibawa ke hospital dan ketika kejadian itu saya juga ada terdengar jeritan pemandu dan penumpang kereta itu memandangkan mereka juga tersepit dan mereka turut dikejar ke hospital,” jelasnya.

Rempuhan itu menyebabkan Abu Bakar mengalami kerugian lebih RM20,000 termasuk kerosakan motosikal milik dia dan anaknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here