KEPUTUSAN pemecatan dan penggantungan pemimpin UMNO akan menyebabkan parti itu kehilangan lebih banyak sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
“Tindakan yang dilakukan ini sebenarnya adalah masalah dalaman dalam UMNO, selain ia hak yang ada pada parti untuk mengambil tindakan,” ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan tulisan-tulisan dan maklum balas berhubung perkara itu disifatkan sebagai terlalu drastik.
“Jika dilihat dari sudut politik, ia adalah satu usaha yang terdesak dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat di dalam parti.
“Kita rasa ia memberi kesan yang besar, terutama di Selangor memandangkan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah individu yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat, selain dalam parti UMNO sendiri walaupun ada kelemahan biasa sebagai manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2023 di sebuah hotel di Kota Bharu, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Noh dipecat daripada parti.
Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Sementara itu, Mohd. Amar berkata, sejak dari dulu Pas bersifat terbuka dan sesiapa yang berminat boleh menyertai parti itu.
“Kita tiada masalah, cuma kita tidaklah mendesak atau sampai ke peringkat memujuk. Kita buka pintu kepada sesiapa saja yang boleh bersama-sama dalam parti Pas,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.