Warga emas mengaku tidak bersalah sembilan pertuduhan terima, pindah RM700,000 wang aktiviti haram

0
157

SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM700,000, tiga tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, didakwa menerima wang berjumlah RM705,625, yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun bank milik AYMY Multitouch Enterprise ke dalam akaun bank miliknya.

Ahmad Yusri juga didakwa atas tiga pertuduhan memindahkan RM77,000, yang merupakan hasil aktiviti haram, secara dalam talian daripada akaun bank miliknya ke dalam akaun bank milik tiga syarikat berlainan.

Dia turut didakwa atas dua pertuduhan melupuskan wang berjumlah RM490,285 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaun bank miliknya.

Ahmad Yusri didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Islamic Berhad, IBS Taman Maluri di Jalan Mahkota, Maluri di sini antara 6 Nov dan 13 Nov 2020.

Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan, namun peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja, muflis selain menghidap penyakit kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut kanan.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan Ahmad Yusri diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here