Anak Najib, Mohd Nazifuddin tawar diri tanding Naib Ketua Pemuda UMNO

0
119

ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Mohd. Nazifuddin dalam kenyataan berkata, beliau mahu membantu Pemuda UMNO menarik semula golongan muda dalam memperkukuhkan wadah perjuangan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut merasakan mempunyai kelebihan untuk mendampingi golongan muda menerusi penglibatannya dalam persatuan sukan.

Menurut Mohd. Nazifuddin yang juga ahli Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, beliau mahu menyumbang kudrat dalam memartabatkan kegiatan sukan; mencungkil bakat dan kemahiran; meninggikan taraf ekonomi serta kepelbagaian aktiviti berfaedah untuk golongan muda.

“Sekiranya diberi peluang menjawat jawatan ini, saya akan memfokuskan kepada golongan pengundi lepasan sekolah agar mereka dapat membantu kita untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Oleh itu, saya dengan penuh takzim memohon sokongan daripada sahabat-sahabat perwakilan Pemuda UMNO dari seluruh negara bagi merealisasi hasrat saya ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

Sementara itu, dalam rakaman video yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya, Mohd. Nazifuddin berkata beliau sedar dengan cabaran besar untuk menarik semula minat golongan muda terhadap UMNO.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersedia untuk mendepani segala cabaran tersebut.

“Keutuhan berpasukan, persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.

“Sebagai ahli parti, sudah pastinya ini elemen utama yang menjadi intipati yang sekian lama menjadi didikan pada diri saya.

“Boleh saya sumbangkan kembali kepada parti yang telah banyak berjasa ini. Bukan sahaja kepada orang Melayu malahan keseluruhan rakyat Malaysia,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here