Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

0
241

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SERAMAI 14 individu dihadapkan di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang pagi ini atas pertuduhan mencuri dan menghapuskan kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian awal bulan ini.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang antaranya bekerja sebagai subkontraktor; pengawal keselamatan, penternak ikan, penjual vape, kerani dan sebagainya mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Bagi pertuduhan pertama, 11 tertuduh didakwa telah mencuri kabel milik Telekom Malaysia pada pukul 5 pagi 10 Januari lalu, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Bungah.

Mereka ialah Mohd. Danial Mohd. Nasib, 42; Mohd. Helmie Iswandi Ismail, 40; Muhamad Faiz Yahaya, 31; Mohd. Hishammudin Mohd. Razak, 45; Muhammad Farhan Ridzuan, 31; Muhammad Zulfaqar Ismail, 31; Syed Hasnisham Syed Hassan, 37; Abdul Wafi Fazil, 38; Muhamad Ridzuan Jamaludi, 36; Ahmad Finhas Fazil, 40, dan Muhammad Nasrul Mohamas Rashidey, 30.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, 11 tertuduh yang sama serta tiga lagi tertuduh iaitu, Sande Baijuri Abd. Rahman, 40; Ahmad Zulaswad Ismail, 36, dan Muhamad Fauzal Roselan, 27, didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu kabel milik TM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 5 dan 7 Januari lalu, kira-kira pukul 6.30 pagi di Kampung Matang Gedong, Sungai Petani, Kedah.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Naqieya Zulkernain.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama serta RM1,500 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, seorang subkontraktor Telekom Malaysia (TM) antara yang ditahan polis kerana terbabit kegiatan curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian keseluruhan RM910,448.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, pukul 2.40 pagi pada 10 Januari lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here