Laluan sukar PH-BN di Kedah

0
229

Oleh BADLISHAH MAT

SUDAH terang lagi bersuluh, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan setakat mahu membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Namun, jauh daripada itu adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri termasuk Kedah secara bersama-sama yang seakan-akan memberi bayangan perkara itu sudah lama dirancang tetapi dinafikan.

Dengan keputusan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) hampir menyapu bersih 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 lalu, PH dan BN mungkin melihat keperluan untuk ‘berkahwin’ itu tidak boleh diakhiri setakat kerajaan Persekutuan.

Mereka khususnya UMNO Kedah kini sudah secara terbuka menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah pada PRN yang mungkin Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hanya berakhir selepas Mei depan.

Bagaimanapun, soal pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu pasti akan menarik perhatian ramai pemerhati politik kerana jika berlaku persefahaman untuk tidak bertembung sesama sendiri pasti akan ada yang ‘terkorban’ apabila tidak ‘lekat’ calon.

Mereka bukan seperti PN yang pemimpin-pemimpin atau ahlinya sedia untuk tidak dinamakan sebagai calon oleh pucuk pimpinan demi mencapai kejayaan dan kemenangan bersama.

Aura PN di Kedah masih kuat, apatah lagi setelah PH-BN membentuk kerajaan sekali pun, gabungan itu masih mencatat kemenangan membanggakan pada pilihan raya Parlimen Padang Serai yang diadakan dua minggu selepas PRU15 sebenar.

Kelmarin pun, konvoi motosikal bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sempena Ekspo Sik Sejahtera tetap dipenuhi ribuan anak muda yang turut serta sekali gus menandakan mereka sedia mengekalkan PN di Kedah.

Tidak mudah untuk PH atau BN yang kedua-duanya pernah memerintah Kedah kembali menawan negeri Jelapang Padi ini pada PRN akan datang walaupun mereka kini berkuasa di peringkat Pusat.

Langkah BN menamakan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Naib Presiden UMNO sebagai ‘bapa angkat’ bagi menghadapi PRN mungkin menambah sedikit tonik ketika Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom seolah tidak wujud.

Tetapi tugas berat menanti Mahdzir yang baru sahaja berdepan kekalahan di Parlimen Padang Terap, sama seperti Jamil Khir yang tewas di Parlimen Jerai lalu yang mungkin tidak akan memberi apa-apa impak kepada PN.

Dengan ramalan dibuat oleh Muhammad Sanusi bahawa hanya kerusi DUN Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam yang mungkin sukar dimenangi PN kelak, sewajarnya PH-BN berwaspada terhadap jangkaan itu.

Kemenangan 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah sudah cukup untuk PN kekal memerintah Kedah yang kini terus menjadi pilihan pelabur domestik dan antarabangsa untuk menanam modal dalam sektor perindustrian di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here