Harga makanan di gerai makan, restoran naik hingga 40 peratus

PENGUSAHA gerai dan restoran didapati terpaksa menaikkan harga makanan sehingga 40 peratus susulan bekalan bahan mentah yang mahal dikenakan pembekal.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, tinjauan harga purata makanan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan harga makanan yang membimbangkan pengguna.

“Nampaknya dalam sub kumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol), harga daging dan ayam meningkat. Akibatnya inflasi ayam dan daging tertinggi berbanding barangan lain, meningkatkan harga makanan bermasak di kedai makan, termasuk di gerai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, aduan yang diterima daripada pengguna mendapati pengusaha gerai dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus.

“Pengguna berasa kenaikan terlalu tinggi dan ini menjejaskan kunjungan pelanggan harian restoran. Pengusaha kedai makan dan minuman memberi alasan mereka terpaksa menaikkan harga kerana harga banyak bahan mentah meningkat.

“Barangan seperti minyak masak, gula, sayur-sayuran, ikan dan bijirin, telur serta daging yang mereka beli daripada pembekal telah dinaikkan,” katanya, lapor Berita Harian.

Katanya, MAPIM berpandangan walaupun harga bahan mentah naik, harga makanan bermasak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan.

Mohd Azmi yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, berkata harga makanan masak dan minuman bukan alkohol didapati semakin tinggi dengan sepinggan nasi berlauk kini meningkat dan sangat dirasai pengguna.

“Hampir semua restoran telah meningkatkan harga, malah ada mengenakan caj hingga 60 sen segelas ais kosong. Kenaikan harga makanan siap masak di kedai atau restoran sedang dirasai pengguna yang bergantung kepada kedai sebagai pilihan utama setiap hari untuk makan.

“Mereka yang bekerja dan makan di luar setiap hari menghadapi kesan yang sangat berat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, golongan berpendapatan rendah tidak punya pilihan, melainkan membeli makanan dan akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat.

“Menaikkan harga makanan bermasak secara berlebihan akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan. Pengguna boleh guna kuasa mereka untuk membeli atau tidak.

“Oleh sebab itu, kenaikan harga yang melampau perlu dikawal. Pihak berkuasa perlu memantau keadaan di pasaran. Walaupun tanda harga wajib dipamerkan di setiap restoran dan gerai, tetapi harga ditetapkan oleh peniaga dan pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, faktor bekalan dan harga bahan mentah juga harus ditangani dan kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan pengeluaran domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 perlu dikuatkuasakan secara berkesan. Namun kuasa pengguna juga perlu diguna jika ada pengusaha meraih keuntungan keterlaluan,” katanya turut menyarankan pengguna mengurangkan tabiat makan di luar sebagai langkah penjimatan.