Bergantung niat pemberi, kata Hamzah pertahan PN beri wang ketika PRU15

0
215

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan pemberian wang ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, tindakan tersebut sebenarnya bergantung kepada niat pemberi.

“Dalam situasi tertentu, ada pengundi yang meminta wang daripada calon,” katanya pemberita di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini selepas hadir sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Beliau mengulas kritikan diterima Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung agihan wang tunai oleh orang awam kepada pengundi ketika PRU15, dianggap sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

“Saya tak pasti pasal itu (sedekah), tapi yang penting adalah niat memberi wang. Ini bukan tentang menerima wang.

“Mereka yang minta dari calon ada yang nak guna untuk baiki rumah…kerana itu kita kena hati-hati dalam niat kita memberi duit itu kepada meminta,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Hadi mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen membantah kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana didakwa terdapat unsur rasuah.

Hadi yang turut hadir pada program sambutan berkenaan enggan menemui pemberita, manakala Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas lanjut.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Sementara itu, Hamzah berkata, PN akan mengemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan UMNO Terengganu.

“Sudah tentu bila mereka cabar kita dengan petisyen, kita akan pastikan, kita ada bukti yang menunjukkan semua dakwaan tak betul.

“Isunya, petisyen ni (dibuat) semata-mata tak puas hati. Kita ada pasukan (peguam) yang mempertahankan dan memastikan kita menang,” katanya.

Hamzah ketika diminta mengulas mengenai persediaan PN bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN), berkata perbincangan antara parti komponen belum selesai.

Bagaimanapun, beliau memberi keyakinan bahawa PN akan menang bergaya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Sementara untuk Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kita perlu betul-betul pastikan semua calon kali ni boleh diterima bukan sahaja Melayu tapi bukan Melayu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here