Mahkamah benar Isa dapatkan sementara pasport tunai umrah

0
130

MAHKAMAH Rayuan membenarkan permohonan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menunaikan umrah pada 10 Feb ini.

Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Isa, 73, selepas mendengar hujahan peguamnya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.

Baharudeen berkata anak guamnya akan berangkat menunaikan umrah pada 10 Feb hingga 23 Feb ini.

“Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 23 Feb ini dan saya mohon pasport dikembalikan pada 7 Mac,” kata Baharudeen yang hadir bersama peguam Abu Bakar Isa Ramat.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut yang difailkan pada 10 Jan lepas.

Kamaludin yang bersidang bersama Hashim Hamzah dan Azman Abdullah berkata Isa selaku perayu perlu mengembalikan pasportnya kepada mahkamah pada 7 Mac ini.

Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Isa untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom.

Pada 3 Feb 2021, Isa disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021 dan rayuan berkenaan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here