Pengasuh didakwa dera kanak-kanak OKU usia 5 tahun

0
189

SEORANG Kakitangan sebuah pusat jagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas tuduhan mendera kanak-kanak kurang upaya, tahun lalu.

Norafifi Muda, 35, mengaku tidak bersalah sebelum memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang pengasuh didakwa menganiayai mangsa yang berusia lima tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat jagaan di Kuala Terengganu antara jam 6 pagi hingga 10 malam pada Ogos 2022.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak OKU berusia lima tahun menjadi mangsa penganiayaan kakitangan sebuah pusat jagaan di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din dilaporkan berkata, kanak-kanak lelaki itu dipercayai dianiaya secara fizikal sejak Julai hingga Ogos 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here