Piala AFF: Rakyat nak tengok Harimau Malaya bukan Jay Chou

0
237

ARMADA Bersatu Malaysia kecewa kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak digunakan secara penuh untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pada separuh akhir Piala AFF 2018, 87,545 penyokong hadir namun pada tahun ini, 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

“Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya? Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu.

“Ini masalah bila Stadium Nasional yang sepatutnya mengutamakan sukan negara digunakan untuk acara lain yang sepatutnya boleh saja dibuat di tempat lain contohnya di Axiata Arena,” katanya di Facebook hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang pada masa sama mengingatkan kerajaan khasnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa, hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih!.

Tegasnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu gunakan segala kuasa yang beliau ada untuk perbetulkan keadaan ini.

“Korbankan konsert artis Taiwan ini untuk membolehkan majoriti rakyat yang mahu menonton Harimau Malaya beraksi dalam sukan no. 1 negara!

“Jangan khianati perjuangan para perwira negara kami! Ini MALAYSIA FIRST!,” katanya.

Semalam, Yeoh dalam kenyataannya berkata, SNBJ sudah ditempah terlebih dahulu oleh Penganjur Jelajah Dunia Jay Chou pada 2019 sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu.

“Booking (tempahan) stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.

“Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here