Kes rasuah projek solar: Rayuan Rosmah didengar 11 Julai ini

0
203

MAHKAMAH Rayuan menetapkan tempoh selama empat hari, bermula 11 Julai, bagi mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut membatalkan jadual pendengaran yang ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 22 dan 23 Jun.

Peguam Akberdin Abdul Kader mengesahkan perkara itu selepas pengurusan kes pagi ini.

“Tarikh baru untuk pendengaran rayuan adalah 11 hingga 14 Julai, dengan jadual sebelum ini iaitu 22 dan 23 Jun dikosongkan.

“Ini kerana kami (pembelaan) mahu lebih hari bagi tiga permohonan (berkaitan kes tersebut).

“Jadi mahkamah tetapkan selama empat hari pada Julai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Timbalan pendakwa raya Poh Yin Tinn turut mengesahkan perkara itu, sambil menambah mahkamah mengarahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis paling lewat pada 9 Jun dan membuat balasan paling lewat 4 Julai.

“Pengurusan kes terakhir pada 4 Julai,” katanya, lapor MalaysiaKini.

Pasukan peguam Rosmah sebelum ini dilaporkan akan membangkitkan 127 asas dalam rayuan isteri Najib Razak itu.

Antaranya adalah dia tiada kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan dan dakwaan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan tidak bersikap adil terhadapnya.

Rosmah juga mendakwa dalang sebenar itu adalah bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Rizal pada mulanya turut didakwa namun ia digugurkan. Dia kemudian menjadi saksi pendakwaan.

Rosmah turut membuat rayuan terhadap keputusan Zaini menolak permohonannya agar dia menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here