Pemilik stesen minyak didakwa tipu ahli perniagaan RM2.3 juta

0
246

SEORANG pemilik stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan dan menggunakan dokumen palsu membabitkan kerugian berjumlah RM2.3 juta, tahun lepas.

Hanafi Husin, 39, didakwa menipu lelaki berusia 34 tahun itu dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak tiga kali dan memasukkan wang ke dalam akaun bank sebuah syarikat sebanyak dua kali antara 17 Jun dan 6 Julai tahun lepas, berjumlah RM2.3 juta bagi menjalankan perniagaan minyak diesel secara sah.

Tertuduh juga didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat persetujuan penjualan rampasan minyak diesel bertarikh 23 Mei 2022 dari pihak pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Johor.

Dia turut didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat sokongan perlesenan LPG/produk petroleum daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 1, serta surat kapasiti tangki bawah tanah bagi produk diesel/petrol dan sokongan membekal RON 97/diesel bagi premis kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Perbuatan memalsukan dokumen berkenaan didakwa dilakukan syarikat milik tertuduh di kawasan perindustrian Pasir Gudang pada 12 Jun 2022.

Hanafi didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hayati Muhammad Fathullah manakala   tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Hakim Fatimah Zahari membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jan ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here