Teliti aspek perundangan sebelum tutup premis judi – MB Perlis

0
191

KERAJAAN Perlis akan meneliti terlebih dahulu daripada sudut perundangan sebelum mempertimbangkan langkah menutup premis perjudian dan loteri di negeri ini.

Ini susulan langkah kerajaan Kedah yang tidak lagi memperbaharui lesen perjudian premis berkenaan bermula semalam.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata setakat ini, pihaknya belum lagi membincangkan sebarang langkah ke arah tindakan berkenaan.

“Namun, insya-Allah kita akan tengok dari segi perundangan terlebih dahulu termasuk juga tempoh lesen premis perjudian ini sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.

“Apa pun di Perlis ini, kita tak punya banyak premis perjudian pun, kerana saya difahamkan hanya terdapat sekitar tiga premis di Kangar dan Kuala Perlis,” katanya ketika dihubungi BH.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiada sebarang premis atau kedai menjual minuman beralkohol dibenarkan beroperasi di Perlis.

“Jika kita lihat, setakat ini tidak ada, kedai menjual minuman arak beroperasi di negeri ini kecuali kedai ubat-ubatan tradisional yang didapati ada menjual bahan alkohol untuk perubatan dan yang itu tidak mengapa.

“Kedai serbaneka 24 jam di negeri ini juga turut tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol.

“Selain itu, kita memang memantau operasi kedai makanan yang menjual alkohol kepada orang ramai secara terbuka kerana kita tidak mahu perbuatan mereka yang meminum arak ini mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang lain lebih-lebih lagi apabila mereka memandu di jalan raya,” katanya.

Mulai semalam, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya selepas keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.

Muhammad Sanusi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk, selain bagi mencapai sasaran sifar judi.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa ia melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here