NGO sokong langkah Kedah tamatkan lesen premis judi

0
245

Oleh RIZQI ZABIDI

LANGKAH kerajaan negeri Kedah yang cukup berani untuk mengharamkan premis perjudian daripada beroperasi di negeri tersebut, mendapat pujian kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkannya sebagai tindakan amat tepat.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah tersebut diyakini merupakan sebahagian daripada tindakan yang mampu membendung pelbagai masalah sosial.

Namun katanya, pihak berkuasa serta agensi kerajaan Persekutuan diminta memberi perhatian kepada kewujudan premis judi tidak berlesen termasuk yang dilaksanakan secara dalam talian.

“Kami ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berani menghentikan pengeluaran lesen judi, loteri dan nombor ekor di negeri ini berkuat-kuasa 2023. Bagi kami, ini merupakan langkah tepat untuk mengurangkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

“Bagaimanapun kami berharap agar penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan terhadap judi-judi haram yang sudah wujud sekian lama, sejak puluhan tahun lalu. Bukan rahsia termasuk di kampung-kampung berlaku penceraian dan pergaduhan akibat ketagihan terhadap judi haram termasuk secara dalam talian,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Besar Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri berkenaan selain bagi mencapai sasaran sifar judi.

Selain Cake, langkah kerajaan negeri tersebut turut disokong oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah.

Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, negeri lain turut perlu menjadikan Kedah sebagai contoh berhubung perkara tersebut.

“Tindakan inni dapat mengekang aktiviti tidak bermoral tersebut daripada terus menjadi barah kepada generasi muda.

“Justeru negeri-negeri lain perlu menjadikan Kedah sebagai contoh dan mengambil tindakan sama,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here