Pelajar rugi RM57,488 terjerat pekerjaan tidak wujud

0
228

SEORANG pelajar lelaki mengalami kerugian RM57,488 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 19 tahun menyertai satu iklan di laman media sosial Instagram pada 19 Disember lalu.

Katanya, mangsa dikehendaki melaburkan modal terlebih dahulu dan dijanjikan pulangan daripada pelaburan terbabit.

“Mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam melaksanakan tugasan yang diberikan oleh suspek sehingga melakukan lima pindahan wang ke lima akaun bank yang berlainan.

“Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan selain meminjam daripada rakan dan menggunakan wang persaraan ayahnya yang juga pesara guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, Ramli menasihati masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial tanpa usul periksa yang jelas.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here