Oleh WARTAWAN SATU BERITA
SEBANYAK 475 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan polis Pulau Pinang dalam operasi bersepadu Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan di seluruh negeri itu malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam operasi yang bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi tadi itu, turut disita adalah 33 buah motosikal kerana melanggar pelbagai peraturan dan undang-undang jalan raya.
Jelas beliau, Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang itu menumpukan kepada pemeriksaan kenderaan dan mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal bagi membendung kegiatan samseng jalanan.
“Dalam operasi ini, kita dapat lihat pengguna motosikal melakukan modifikasi terhadap motosikal masing-masing, ada yang tayarnya lebih kecil dan sebagainya.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kegiatan samseng jalanan bagi memastikan ambang tahun baharu di Pulau Pinang tidak dicemari dengan kegiatan lumba haram,” katanya ketika meninjau operasi itu di susur masuk lorong motosikal di Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Menurut Fisol, sepanjang tahun ini juga polis Pulau Pinang akan menumpukan usaha untuk membendung kegiatan samseng jalanan dalam kalangan pengguna motosikal.
”Kita akan menjalankan operasi dengan lebih menyeluruh tahun ini dan akan turut membuat operasi ke atas bengkel-bengkel motosikal yang disyaki menjadi lokasi pemilik motosikal menjalankan modifikasi,” katanya.
Tambah beliau, Pulau Pinang juga akan menjadi negeri model pada tahun ini dalam usaha membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan menerusi pelbagai operasi pencegahan dan sebagainya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.