Kerajaan diminta gantung sementara penerbangan keluar masuk dari China

0
149

Oleh RIZQI ZABIDI

KERAJAAN perlu segera menggantung penerbangan keluar masuk ke China buat sementara waktu berikutan penularan Covid-19 yang sedang mengganas di negara itu.

Menurut Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa, Syed Hairoul Faizey Syed Ali, tindakan tersebut perlu diambil bagi memastikan Covid-19 tidak kembali menular secara berleluasa seperti sebelum ini.

Selain itu katanya, kerajaan turut disyorkan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga termasuk menyekat kemasukan rakyat China ke negara ini buat sementara waktu.

“Perkasa dengan tegas menggesa kerajaan menggantung sementara penerbangan keluar masuk China ke negara ini kerana penularan Covid-19 sedang melonjak naik di negara tersebut.

“Dengan angka amat membimbangkan di China ketika ini, kerajaan disyorkan unntuk mengambil langkah berjaga-jaga antaranya menyekat kemasukan negara itu ke Malaysia untuk satu tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

Baru-baru ini terdapat laporan menyatakan separuh daripada penumpang yang menaiki dua pesawat ke Milan, Itali dari China didapati positif Covid-19.

Semalam pula Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) secara konservatif menyasarkan kira-kira 300,000 pelancong dari China ke negara ini tahun depan, susulan kelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara itu berkuat kuasa 8 Januari 2023.

Mengulas lanjut Syed Hairoul berkata, kedatangan pelancong asing ke negara ini diakui akan merancakkan lagi sektor ekonomi negara yang baru saja hendak pulih ekoran serangan Covid-19 sebelum ini.

Begitu pun katanya, semua pihak tidak seharusnya lupa akan hakikat betapa Covid-19 kini sedang mengganas di China.

“Kalangan pelancong perlu kembali diwajibkan melakukan ujian kendiri dan saringan ujian kesihatan di negara ini.
Selain itu, laporan Mysejahtera turut perlu dilaksanakan di setiap pintu masuk ke negara ini bagi membendung Covid-19.

“Sejarah membuktikan bahawa penularan Covid-19 di awal tahun 2020 datangnya dari China. Maka kita perlu mengambil langkah untuk berjaga-jaga,” katanya – SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here