Dua ‘runner’ didakwa culik,cedera, ugut lelaki

0
231

DUA ‘runner’ syarikat pengurusan kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini atas dua pertuduhan menculik dan mencederakan seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, Tan Jun Xian, 32, dan Wong Yu Yang, 26, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Jun Xian dan Yu Yang didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas lelaki berusia 31 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Jalan Kelasah Seberang Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira 3 petang 20 Disember lalu.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Jun Xian dan Yu Yang secara bersama didakwa menculik dan menyebabkan mangsa dikurung di lokasi pada masa serta tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, Yu Yang turut didakwa dengan pertuduhan mendatangkan ketakutan kepada mangsa sama bagi tujuan pemerasan dengan ancaman mencederakannya, lapor Harian Metro.

Yu Yang didakwa melakukan kesalahan itu di Persiaran Sembilang, Seberang Jaya, di sini, kira-kira 4 petang hari sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pang Chuin Keat.

Ketika prosiding, Nurul Nadia memohon ikat jamin setimpal diberikan terhadap tertuduh selain meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Jun Xian diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapinya, manakala Yu Yang dibenarkan diikat jamin berjumlah RM15,000 bagi tiga pertuduhan.

Selain itu, mereka berdua perlu mematuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berjalan.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari depan sementara menunggu laporan perubatan dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here