Bayi ditemukan lemas dalam parit

0
207

SEORANG bayi lelaki berusia 18 bulan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di hadapan kediamannya di Jalan Kwong Ming, Sibu, hari ini.

Mayat Sia Chin Hang dijumpai dalam anggaran jarak 600 meter dari kediamannya oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.10 petang.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pukul 1.24 tengah hari dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi SAR dimulakan empat anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dalam parit berhampiran rumah mangsa.

“Pada pukul 2.10 petang mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam parit dianggarkan sedalam dua hingga tiga meter oleh pasukan SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Kata jurucakap itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR ditamatkan pada 4.23 petang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here