PU Azman tak mengaku salah lagi, tuduhan amang seksual

0
263

PENDAKWAH selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, PU Azman atau Azman Syah Alias, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Azman Syah melakukan kesalahan terbabit di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada waktu tengah hari 22 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah Ampang menjadi mahkamah ketiga PU Azman didakwa atas kes seksual selepas dihadapkan di Mahkamah Klang dan Seremban masing-masing pada awal bulan ini serta Oktober lalu.

Di Mahkamah Klang, pendakwah selebriti terbabit didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama.

PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua sembilan pertuduhan berkenaan di hadapan dua Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Surita Budin dan Syafeera Mohd Said serta Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon PU Azman tidak diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam bela pendakwah selebriti itu, Mohamad Zahid Ahmad, berkata jaminan perlu diberikan kerana ia penting bagi tertuduh menyediakan pembelaan terbaik untuk kesnya.

Katanya, jaminan turut diberikan kepada PU Azman dalam pertuduhan kes sama di Mahkamah Klang dan Seremban.

Pihak pembelaan percaya tiada alasan luar biasa bahawa mahkamah dengan budi bicaranya tidak boleh membenarkan jaminan.

“Ia memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik terhadap kes berkenaan serta mengikut prosiding dan syarat mahkamah ditetapkan sebelum ini.

“Saya dengan rendah diri mohon jaminan paling minimum diberikan selepas Mahkamah Klang membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000, manakala RM40,000 di Mahkamah Seremban.

“Syarat sama ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini iaitu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Balai Polis Rantau serta dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan, selain pasport ditahan di Mahkamah Seremban dan perkara itu diikuti Mahkamah Klang.

“Kakak tertuduh hadir dan sedia menjadi penjamin. Rayuan jaminan rendah juga kerana pendapatan tertuduh terjejas teruk untuk menanggung diri dan adik-beradik lain yang tak bekerja,” katanya memetik laporan BH Online.

Susulan itu, Norhashimah berkata, jaminan tinggi perlu diberikan jika mahkamah membenarkannya bagi menunjukkan tahap keseriusan pertuduhan itu.

“Kita mahu memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Jaminan tinggi mengambil kira kes amang fizikal yang menarik perhatian umum.

“Mohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap satu haribulan, dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

“Sebutan kes ditetapkan pada 10 Februari tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here