TNB siasat kejadian tiga beradik maut terkena renjatan elektrik

0
195

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan siasatan mengenai kejadian tiga beradik perempuan yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kediaman mereka dilanda banjir di Tumpat, Kelantan, pada pagi Isnin.

TNB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga dan polis bagi menyiasat kejadian yang berlaku di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan memetik laporan FMT.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir bagi mengelak kebocoran arus.

“Bagi menjamin keselamatan pengguna TNB akan memutuskan bekalan elektrik buat sementara bagi kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

“Bekalan elektrik akan disambung semula secepat mungkin selepas keadaan selamat untuk dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian 11.45 pagi tadi itu, tiga beradik berusia 20 hingga 27 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung di rumah mereka yang dinaiki air.

Seorang daripada mangsa dilaporkan terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here