Lokasi tragedi Batang Kali adalah kawasan sensitif kerana pembangunan tanah

0
314

Kawasan tragedi runtuhan cerun yang meranapkan tiga tapak perkhemahan milik Father’s Organic Farm di sini awal pagi semalam, disifatkan sebagai kawasan yang sensitif kepada pembangunan tanah.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dalam kenyataannya, menjelaskan ciri fizikal kawasan itu adalah bukit batu granit yang dikelilingi Hutan Simpan Batang Kali iaitu hutan perlindungan tanah dan hutan taman negeri yang mempunyai dengan kecerunan sekitar 30 hingga 45 darjah.

“Ketinggiannya yang mencapai 600 meter daripada aras laut, membuatkan ia terletak dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN).

“RFN memperuntukkan, tiada sebarang pembangunan boleh dijalankan dalam kawasan KSAS Tahap 2, melainkan aktiviti seperti penyelidikan, pelancongan terkawal dan penebangan hutan secara terpilih.

“Namun, dalam kes ini, liputan hutan di lokasi sudah dibersihkan untuk projek pertanian organik dan ditambah kawasan perkhemahan. Masa sama, kontraktor tidak membuat penanaman semula di cerun terbuka dengan pokok-pokok asal bagi mengawal runtuhan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Twitter, lapor BH Online.

KUASA menegaskan, aktiviti penebangan hutan secara habis untuk pembukaan ladang organik dan perkhemahan itu sudah tentu melanggar syarat pembangunan yang ditetapkan mengikut status KSAS Tahap 2.

Katanya, zon guna tanah semasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) adalah zon komersial, walaupun sebelum ini, kawasan terbabit dikenali sebagai zon berhutan.

“Yang menimbulkan persoalan adalah mengenai kelulusan pembangunan ladang pertanian organik, sedangkan ladang pertanian seharusnya di bawah zon pertanian. Bagaimana zon komersial ini boleh bertindih di bawah KSAS Tahap 2?.

“Difahamkan, pemilik tanah melanggar syarat-syarat kelulusan dengan memberi izin kepada pembukaan kawasan agro-pelancongan atau perkhemahan dalam ladang. Ia adalah projek haram, tidak ada permit.

“Tambahan, pembangunan sebelum ini seperti pembinaan jalan raya dan pembalakan sudah melemahkan struktur cerun. Untuk bina jalan, kawasan hutan perlu ditolak, sisa tanah ditolak tadi ditimbun atau ditambak di tebing bukit dan menjadi cerun baru buatan manusia.

“Semasa musim hujan, limpahan hujan yang banyak akan mengalir di permukaan dan meresap ke dalam permukaan tanah cerun dan menyebabkan kegagalannya disebabkan tanah itu berat, ‘tepu air’ dan menyebabkan kestabilan menurun,” katanya.

Persatuan itu mendakwa, situasi terbabit akan mendorong kepada berlakunya runtuhan tanah secara besar-besaran.

Mereka menyifatkan, bencana kali ini amat malang kerana ‘kebetulan’ ada kawasan perkhemahan sekitar 100 meter di bawah tanah runtuh (30 meter di bawah paras jalan), membuatkan pengunjung yang sedang tidur dalam khemah tertimbus dengan runtuhan tanah berat.

Katanya, bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan, dan pembersihan ladang), dan bukannya pada cerun semula jadi, yang menyaksikan gabungan pembinaan jalan raya dan pembukaan tanah pertanian hingga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah yang dahsyat.

“Justeru itu, KUASA menasihatkan agar kerajaan dan rakyat, wajib mengambil iktibar daripada kejadian ini bagi mengelakkan tragedi ini berulang dengan beberapa langkah. Kawasan sensitif perlu dizonkan semula sebagai kawasan perlindungan kerana kini ada banyak kawasan sensitif dizonkan dalam zon pembangunan.

“Pewartaan kawasan sensitif ini sebagai kawasan terlindung adalah penting bagi menghalangnya daripada diceroboh, mahupun dibangunkan secara tidak mampan pada masa depan.

“Kita kena kenal pasti banyak lagi kawasan sensitif yang baru di masa depan. Tindakan meluluskan projek pembangunan yang tidak sesuai di kawasan sensitif harus dihentikan menerusi komitmen kerajaan negeri.

“Banyak senario di mana kerajaan negeri gagal mematuhi dasar Persekutuan, dengan meluluskan banyak projek tidak mampan di kawasan sensitif alam sekitar Tahap Satu, Dua dan CFS,” katanya.

KUASA menyifatkan, pihak berkuasa negeri yang meluluskan projek seumpama itu masih jahil mengenai alam sekitar, pembangunan dan undang-undang yang berkaitan.

Justeru itu katanya, Kerajaan Persekutuan harus memantau serta mengawal kerajaan negeri bagi kelulusan ini supaya ia menepati dengan dasar perancangan fizikal dan alam sekitar negara

“Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan boleh diatasi sekiranya orang awam dilatih, khususnya penduduk tempatan mengenai ilmu serta kemahiran memahami SOP pembangunan supaya mereka boleh melaporkan sebarang kejadian pencerobohan dan perlanggaran syarat oleh kontraktor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here