Kenyataan Puad Zarkhashi dangkal, saya jalan tugas pro bono sahaja – Muhyiddin

0
193

KENYATAAN Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mempersoalkan peruntukan beratus juta ringgit yang disalurkan kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN), bersifat dangkal.

Mantan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, pihaknya tidak menerima sebarang peruntukan mahupun elaun ketika beliau memegang jawatan berkenaan dalam kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, MPN adalah badan penasihat sahaja dan bukan eksekutif selain tiada peruntukan.

“Waktu saya memimpin pun saya jalankan tugas ‘pro bono’, tak ambil gaji satu sen. MPN ini badan advisory, dia bukan executive, tidak ada peruntukan.

“Puad Zarkashi yang kata kita ada peruntukan, semaklah berapa juta, tidak ada peruntukan, cuma kita buat perakuan kepada Kabinet apa tindakan hendak dibuat maka serah pada Kabinet, kalau ikut kiraan kita hari itu 95 perkara Kabinet semua dah lulus, dia ada implikasi kewangan, itu soal kerajaan, tapi bukan peruntukan diberi kepada MPN,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh pada Sabtu.

Puad Zarkashi sebelum ini mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan beratus juta ringgit didakwa untuk MPN.

Dakwanya, beliau difahamkan bahawa Muhyiddin telah menerima peruntukan khas tersebut daripada perdana menteri pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Puad Zarkashi turut mempersoalkan adakah peruntukan itu dibelanjakan untuk parti Bersatu sahaja atau perkara lain selain turut meminta Muhyiddin memperjelaskan tentang butiran perbelanjaan dana MPN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here