Tanah runtuh Batang Kali: Pengurus tapak perkhemahan akan dipanggil – Polis

0
293

POLIS akan memanggil pengurus tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali di sini susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 23 mangsa setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah dalam sidang media di lokasi insiden, di sini pada Sabtu.

“Setakat ini, kita akan panggil pengurus tapak perkhemahan dan kita akan mengambil tindakan,” katanya memetik laporan Astro AWANI.

Semalam, tiga tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm dikenal pasti beroperasi tanpa lesen sejak 2020.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, semakan mendapati syarikat itu hanya memohon lesen bagi membangunkan ladang organik di kawasan berkenaan.

Katanya, ia satu kesalahan di bawah Akta 133 iaitu Akta Parit dan Bangunan.

Jika disabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat, runtuhan tanah dianggarkan membabitkan sebanyak 450,000 meter padu (m³) tanah.

Selain itu, ia turut membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu dengan dimensi tanah runtuh di kawasan berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 500 meter, 200 meter lebar dan sedalam lapan meter.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, seramai 23 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh berkenaan, sementara 10 lagi masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seramai 135 petugas yang terdiri dari pakar kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here