TH nasihat jangan percaya berita palsu surat tawaran

0
170

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai untuk tidak mempercayai, berita tular di media sosial mengenai tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan haji, syarat kelayakan bakal haji dan juga kriteria pemeriksaan kesihatan.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata berita itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan TH menerima banyak pertanyaan berkenaannya.

“Bakal Jemaah dinasihatkan untuk menunggu pengumuman rasmi status ibadah haji tahun ini daripada TH. Pengumuman akan dilakukan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya diputuskan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“TH akan memaklumkan tarikh pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah haji terpilih bagi musim haji 1444H/2023M menerusi platform komunikasi rasmi TH kelak.

“Selepas tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Saleh turut memaklumkan, TH sedang menganjurkan kursus asas haji selama 13 minggu bermula 25 November lalu sehingga 17 Februari hadapan.

“Kursus ini adalah sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” katanya lapor BH Online.

Terdahulu, media melaporkan terdapat pesanan yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp, bakal haji boleh menyemak rayuan untuk menunaikan haji bermula 23 Disember ini tetapi sudah dinafikan oleh TH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here