UMNO terus gali kubur sendiri, kata Tun Faisal

0
197

UMNO kini sedang menggali kuburnya sendiri, namun kedalaman kubur itu masih belum ditentukan, kata bekas timbalan ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berkata, ini kerana parti itu masih tidak belajar daripada kesilapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 apabila tewas buat pertama kali kepada Pakatan Harapan (PH), dan terus membuat kesilapan menjelang PRU-15.

Menurut Faisal penolakan utama terhadap UMNO berpunca daripada latar belakang pemimpin yang mempunyai liabiliti yang mana ini dilihat menjejaskan reputasi parti itu pada PRU-15.

Akibatnya, beliau berkata, pengundi termasuk penyokong Umno dan ahli yang tiada jawatan lari ke Perikatan Nasional (PN) kerana “merajuk” dan tidak setuju dengan pendirian presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Bukan saja kalah dari segi Barisan Nasional (BN) yang merosot daripada 79 kerusi kepada 30 kerusi, Umno sendiri jatuh kepada 26 kerusi daripada 54 kerusi yang diperoleh pada PRU-14,” katanya dalam satu wawancara bersama media.

Bagi menunjukkan situasi yang lebih buruk, Faisal berkata, peralihan undi ke PN itu menyebabkan UMNO kehilangan Perlis, serta parah di Perak dan Pahang dan nyaris terkubur di Wilayah Persekutuan.

Lebih menyedihkan, katanya, kehadiran ahli Parlimen BN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Melaka terus terkubur, malah prestasi presiden UMNO sendiri yang bertanding di Bagan Datuk hanya berjaya menang dengan majoriti tipis 348 undi.

Menurut Faisal, Umno terus menggali kubur selepas PRU-15 apabila Zahid enggan mengambil tanggungjawab berundur sebagai presiden parti seperti yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

“Lepas itu gali kubur lagi dalam apabila membawa UMNO bekerjasama dengan PH.

“Mereka (pengundi dan penyokong) rasa dikhianati kerana undi UMNO sebab ‘No Anwar, No DAP’ tetapi akhirnya bekerjasama,” katanya lapor Malaysianow.

Oleh itu, beliau menyimpulkan ramai penyokong dan ahli memilih Bersatu kerana parti itu dilihat sebagai parti alternatif yang mempunyai hala tuju dan perjuangan sama, malah turut bekerjasama dengan PAS

Mengulas mengenai prestasi Umno sejak mengalami kekalahan pada PRU14, Faisal berkata, parti itu berjaya meningkatkan balik reputasi mereka ketika menjadi pembangkang semasa tempoh 22 bulan dan diterima baik oleh rakyat terutama selepas menjalinkan usaha sama dengan PAS menerusi gerakan Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, contoh terbaik yang boleh dilihat ialah kejayaan pada beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) bermula daripada PRK Cameron Highland sehingga Tanjung Piai.

Katanya, prestasi Umno ketika menjadi kerajaan semula selepas tumbangnya kerajaan PH turut disambut baik, namun keadaan mula berubah selepas Julai 2020 apabila Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi.

Hukuman itu selepas bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

“Kemudian keadaan semakin tegang dengan Perikatan Nasional (PN) ditambah dengan mulanya tersebar mengenai tandatangan SD untuk jadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Azmi Hassan berkata kemungkinan akan ada hikmah apabila BN bekerjasama dengan PH, namun ia memerlukan sesuatu drastik yang perlu dilakukan dalam UMNO.

Beliau berkata, untuk memulihkan kembali nama UMNO, ahli Parlimen yang dilantik memegang portfolio menteri perlu mencatatkan prestasi cemerlang bagi membolehkan parti itu kembali keluar daripada “kubur” mereka.

“Menteri yang dilantik perlu buktikan mereka boleh bekerja dengan baik meskipun sokongan majoriti kerajaan ini adalah terhadap PH dan bukannya BN.

“Ini yang susah untuk dikatakan sebab BN cuma ada 30 kerusi sahaja.

“Jika gunakan cara betul, kepentingan kerajaan perpaduan juga akan bergantung kepada sokongan BN sendiri, sekali gus membuktikan mereka kekal relevan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here