Lelaki terlibat judi atas talian Piala Dunia didenda RM2,000

0
161

SEORANG ejen hartanah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, hari ini, atas pertuduhan membuat pertaruhan judi atas talian kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Tertuduh, Tan Kai Sen, 19, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Tan didapati bermain judi pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit di sebuah restoran di Pusat Komersial Saujana, S2 Height, di sini, pada jam 3.30 pagi, 14 Disember lalu.

Memetik laporan Harian Metro, beliau didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Ibrahim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara enam bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here