Lari 15km bawa lima PATI warga Myanmar

0
117

CUBAAN seorang tekong darat untuk membawa lari lima orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita menggunakan sebuah kereta gagal apabila mereka ditahan pihak polis di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, suspek yang berusia 31 tahun dicekup selepas polis menahan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandunya berhampiran simpang kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas dikejar sejauh 15 kilometer.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian itu, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Gua Musang-Mentara Lama di sini.

Katanya, bagaimanapun, anggota polis melihat sebuah kereta membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut laju menghala ke bandar Gua Musang.

“Anggota polis mengekori kereta suspek menghala ke bulatan Tanah Putih di sini sebelum melihat kereta tersebut dipandu secara melulu dan berbahaya selain melanggar lampu isyarat.

“Selepas 20 minit dikejar dan enggan berhenti, suspek tiba-tiba bertindak mengubah laluannya dengan memasuki simpang kuaters TNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Choon Foo, insiden itu menyebabkan anggota polis tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum merempuh belakang kereta yang dipandu suspek lalu terbabas di dalam longkang.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta itu telah membawa kepada penemuan seramai lima orang PATI warga Myanmar termasuk dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan seorang penyeludup PATI dan menerima upah sebanyak RM250 untuk setiap seorang yang dibawanya.

“Lelaki itu dipercayai mengambil kesemua PATI itu di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang untuk dibawa ke Bentong, Pahang.

“Pemeriksaan ke atas suspek turut menjumpai pil kuda dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya lapor Kosmo Online.

Tambah Choon Foo, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here