Pemandu terlelap kereta rempuh empat kenderaan

0
54

AKIBAT terlelap semasa memandu atau ‘microsleep’, seorang pemandu kereta terbabas melanggar empat kenderaan lain di bahu jalan di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, pada Rabu.

Kejadian berlaku pada jam 2.25 petang itu menyebabkan pembantu gudang lelaki berusia 21 tahun terbabit cedera pada bahagian hidung dan dirawat di zon kuning Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam salah sebuah kereta yang dirempuh jenis Proton Iswara turut cedera ringan dan lebam di bahagian kepala serta menerima rawatan di hospital sama. Lima lagi mangsa-mangsa lain berusia antara 26 sehingga 47 tahun yang berada dalam kenderaan masing-masing tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, selain Proton Iswara, tiga lagi kenderaan yang terlibat ialah Perodua Alza, Honda City dan Mitsubishi masing-masing mengalami kerosakan.

“Siasatan awal mendapati pembantu gudang itu memandu Proton Persona dari arah Persimpangan Taman Maju menghala ke Persimpangan Wakaf Siku dan mengalami ‘microsleep‘ lalu terbabas ke kiri jalan merempuh belakang Proton Iswara.

“Akibatnya, Proton Iswara tergelongsor ke hadapan melanggar tiga kenderaan lain yang berada di tempat sama,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, pada Khamis lapor Awani.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here