Geng Patah aktif curi motosikal sekitar Ampang tumpas

0
263

POLIS berjaya menahan empat lelaki anggota Geng Patah yang disyaki mencuri empat motosikal di sekitar Ampang, dalam Op Lejang bermula 25 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemua yang berusia antara 34 hingga 40 tahun dengan diketuai lelaki dikenali Ya’patah Mamat itu ditahan berasingan di sekitar Gombak dan Sentul.

Beliau berkata kumpulan yang aktif sejak tahun lepas itu menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 125ZR serta bergerak secara berkumpulan dengan menggunakan motosikal curi yang telah diubah suai nombor pendaftarannya.

“Mereka turut menyasarkan kawasan tempat letak motosikal di kawasan perumahan seperti pangsapuri atau kaki lima yang gelap serta tiada pengawasan pengawal keselamatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata hasil penahanan mereka, polis merampas dua motosikal Honda EX5, sebuah Yamaha LC135, satu rangka motosikal yang dicuri serta pelbagai komponen motosikal.

“Motosikal yang dicuri akan dileraikan sebelum dijual di pasaran gelap secara dalam talian dan bersemuka. Mereka yang ditahan bekerja sebagai mekanik, penjual buah-buahan dan penghantar surat serta mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan positif terhadap syabu,” katanya.

Beliau berkata kesemua lelaki itu sedang direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Dalam kes lain, Mohamad Farouk berkata pihaknya menahan seorang lelaki disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan Ampang, Khamis lepas.

Beliau berkata ketika melakukan jenayah itu, lelaki berusia 26 tahun berkenaan berpura-pura ingin membeli rokok di kaunter pembayaran sebelum mengacukan pisau dan mengambil wang RM150 serta kotak rokok.

Katanya lelaki itu aktif menyamun kedai serbaneka sejak awal bulan lepas dipercayai bagi mendapatkan wang membeli dadah dan dia direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here