Usah hirau desakan keluar CPTPP -Bersatu 

0
184

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan menolak desakan untuk menarik diri dari Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang lantang disuarakan oleh beberapa kumpulan baru-baru ini. 

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pentadbiran negara mestilah berdasarkan fakta serta kajian dan bukannya berdasarkan ideologi kiri anti-perdagangan yang dianuti oleh mana-mana kumpulan penyokong semata-mata. 

“Belum sempat sebulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mentadbir, kumpulan-kumpulan aliran kiri yang anti-perdagangan sudah mula lantang. Inilah kesan daripada terwujudnya sebuah kerajaan berfahaman kiri dalam negara kita. 

“Baru-baru ini mereka mahukan kerajaan PH-BN menarik diri dari CPTPP.  Kumpulan-kumpulan ini lantang semula kerana mereka tahu pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim cenderung ke arah kiri. Salah satu elemen dalam falsafah ekonomi kiri ialah sikap anti perdagangan terbuka. 

“Mereka berselindung di sebalik pelbagai hujah seperti perlukan libat urus, perlukan kajian, mahu elak berat sebelah, dan sebagainya. Tetapi ini semua adalah alasan ciptaan sahaja. 

“Sebenarnya semua alasan ini sengaja dicipta untuk menutup hakikat bahawa sikap mereka berakar umbi dari falsafah ekonomi kiri yang anti perdagangan terbuka dan anti ekonomi pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin memetik laporan Utusan Online.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, CPTPP akan memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat, termasuklah penduduk daripada kawasannya yang bekerja di kawasan perindustrian berhampiran. 

Beliau berkata, kemasukan pelaburan baru, perpindahan teknologi baharu dan peluang mempertingkat kemahiran tenaga kerja melalui CPTPP sudah pasti akan membolehkan warga Tasek Gelugor mendapat pendapatan lebih tinggi di masa depan. 

Justeru, katanya, sekiranya penyertaan Malaysia dalam CPTPP dibatalkan, yang rugi bukan saja warga Tasek Gelugor, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. 

“Negara kita dibina sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai sebuah negara perdagangan. Kita adalah negara perdagangan dan ekonomi pasaran. Ekonomi kita makmur apabila kita berdagang di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Tindakan pentadbiran sebelum ini meratifikasi CPTPP adalah tindakan yang tepat. CPTPP dijangka memberi akses ke pasaran baru seperti di Mexico, Peru dan Kanada. 

“Dengan adanya CPTPP, nilai jumlah perdagangan Malaysia dijangka meningkat ke RM3.05 trilion pada 2030, manakala eksport Malaysia akan mencecah RM1.65 trilion pada 2030,” ujarnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here