Pemuda PAS sindir Kabinet ‘Reformasi’ Anwar

0
299

DEWAN Pemuda PAS menyindir pembentukan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang disifatkan pergerakan itu sebagai menyerlahkan semangat reformasi dengan memberikan ‘kelegaan dan kegembiraan’ kepada rakyat khususnya pengundi Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi, berkata reformasi terbesar Kabinet baharu itu adalah pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Pelantikan ini selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto PH, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi.

“Selain itu, Kabinet ‘Reformasi’ ini juga turut dianggotai (Naib Pengerusi Kebangsaan DAP) Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrim yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan.

“Ini bukti PH sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman. Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan BH Online.

Katanya, kejayaan paling besar Kabinet ‘Reformasi’ itu apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggaan Kabinet PH pada 2020.

“Contohnya, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen berkenaan yang kalah dilantik pula menjadi menteri .

“Pemuda PAS mengucapkan tahniah atas pembentukan Kabinet ‘Reformasi’ ini. PAS akan terus memainkan peranan kami semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak tanduk kerajaan campuran PH, BN ini!,” katanya.

Majlis mengangkat sumpah jawatan kesemua 27 menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di Istana Negara semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here