Adakah beliau ‘PM tak berkuasa?’, soal Bersatu selepas menteri dakwa Anwar tiada suara dalam lantikan Kabinet

0
248

SEORANG pemimpin Bersatu mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah “PM yang tidak berkuasa” selepas menteri komunikasi yang baru dilantik Fahmi Fadzil mendakwa perdana menteri tidak mempunyai kata putus dalam memilih anggota Kabinetnya, susulan kemarahan orang ramai terhadap pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya dan seorang lagi calon yang kalah daripada parti itu.

“Buat pertama kali dalam sejarah kita, perdana menteri tidak mahu bertanggungjawab terhadap komposisi anggota Kabinet. Adakah kita mempunyai seorang ketua kerajaan atau adakah ini kerajaan tanpa perdana menteri efektif?” soal Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin.

Terdahulu, Fahmi membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata barisan Kabinet yang diumumkan menunjukkan Anwar menjual maruah negara semata-mata untuk menjadi perdana menteri.

Muhyiddin berkata pelantikan Zahid yang menghadapi banyak pertuduhan membabitkan rasuah jutaan ringgit di mahkamah, menjadikan barisan menteri Anwar sebagai “Kabinet kleptokrat”, di samping menambah ia “tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara”.

Kenyataan Muhyiddin itu dikeluarkan susulan kemarahan di media sosial berhubung pelantikan Zahid serta tindakan yang bercanggah dengan janji Pakatan Harapan (PH) dan Anwar sebelum ini, termasuk tidak membiarkan perdana menteri mengawal portfolio kewangan, dan ikrar pengerusi gabungan itu untuk tidak melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai anggota Kabinet.

Dalam usaha untuk meredakan kritikan, Fahmi berkata menteri yang dinamakan oleh Anwar pada Jumaat lepas bukan pilihannya kerana pentadbiran ketika ini bukan kerajaan PH, sambil menambah barisan Kabinet diputuskan oleh pelbagai parti dalam gabungan.

Afif berkata kenyataan Fahmi adalah sebuah “pengakuan yang menakjubkan mengenai kelemahan kerajaan baru Anwar Ibrahim”.

“Jika Anwar terlalu lemah dan tidak berdaya untuk menghalang kleptokrat menganggotai Kabinetnya, bagaimana kerajaannya boleh membawa perubahan atau reformasi yang bermakna untuk rakyat?

“Lebih penting lagi, siapa punya kerajaan ini? Siapa yang berkuasa dan siapa buat keputusan dalam kerajaan ini? Adakah Anwar atau Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah?” soal Afif memetik laporan MalaysiaNow.

Afif berkata Fahmi bukan sahaja gagal menjelaskan kewajaran dalam pelantikan Zahid, bahkan cuba “mengalihkan kritikan itu kepada Umno”.

“Ini sememangnya pengakuan terbuka oleh Fahmi dan kerajaan baru bahawa pelantikan Zahid adalah salah, tidak bermoral dan tidak boleh dipertahankan,” katanya.

Afif juga menyelar apa yang disifatkannya sebagai percubaan “terdesak” oleh Fahmi ketika menggunakan istilah “kerajaan perpaduan” dalam mewajarkan Kabinet Anwar.

“Fahmi dan anggota kerajaan BN-PH yang lain mesti berhenti mengulangi pembohongan kononnya wujud kerajaan perpaduan di Malaysia. Kerajaan baru ini bukan kerajaan perpaduan.

“Dalam ‘kerajaan perpaduan’ semua parti politik mesti mempunyai perwakilan. Dalam hal ini, PN dengan 73 ahli Parlimen tidak diwakili dalam Kabinet atau kerajaan.

“Oleh itu, pentadbiran Anwar adalah kerajaan campuran, dan bukannya kerajaan perpaduan.”

Sebelum ini, Anwar menegaskan pentadbirannya adalah “kerajaan perpaduan”, walaupun frasa itu tidak disebut dalam kenyataan rasmi Istana Negara pada 24 November lalu yang menamakan beliau sebagai perdana menteri ke-10.

PN, yang terdiri daripada Bersatu dan PAS, menolak tawaran Anwar untuk menyertai kerajaannya, di mana gabungan itu berkata ia tidak akan berkerjasama dengan pemimpin UMNO yang terpalit skandal atau DAP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here