Lantikan ramai Menteri bertaraf senator tidak bagus, harus ikut keperluan

0
144

LANTIKAN jemaah menteri menerusi status Senator seharusnya dibuat secara lebih eksklusif dan dihadkan kepada keperluan mendesak, bukannya dilaksanakan untuk memenuhi permintaan daripada pihak-pihak tertentu.

Menurut Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir, pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat banyak melibatkan pelantikan menteri-menteri melalui jawatan Senator dan lebih ramai berbanding kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Beliau secara peribadi berkata, langkah membentuk anggota Kabinet yang ramai menerusi lantikan Senator adalah agak kurang baik kerana ia seolah-olah kerajaan tidak meraikan amalan demokrasi pilihan raya.

“Kalaulah di kawasan Parlimen sendiri pun mereka ditolak oleh pengundi, bagaimanakah reputasi mereka di peringkat nasional yang dilihat jauh lebih besar cabarannya?

“Atas sebab itulah di dalam semua pilihan raya, calon yang bertanding akan berusaha sekuat mungkin untuk memenangi hati pengundi bagi membolehkan mereka dijadikan ‘wakil rakyat’, seterusnya layak menjadi pemimpin tertinggi negara atau sebagai menteri.

“Setelah tamat tempoh lima tahun atau penggal pemerintahan, menteri-menteri bertaraf Senator tersebut kemudiannya menyertai pilihan raya untuk terus membolehkan mereka bergelar sebagai menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sebelum ini pelantikan menteri melalui Senator hanya dibuat apabila terdapat keperluan membawa seseorang individu yang mempunyai kepakaran atau pengalaman tertentu ke dalam kabinet.

Bagaimanapun katanya, pelantikan menteri melalui Senator tidak seharusnya dijadikan ‘wild card’ bagi melantik calon yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk tetap menganggotai barisan kabinet.

Mengulas lanjut, Erwan berkata, isu menteri lantikan Senator itu bukan sahaja datang daripada dirinya, malah ia menjadi buah mulut orang ramai dan maklum balas kawan-kawan terdekat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Meskipun begitu jelas beliau, kemungkinan besar ada keperluan bagi seseorang pemimpin kanan sesebuah parti yang dipercayai oleh Perdana Menteri perlu dilantik bagi memegang portfolio penting sebagai contoh di Kementerian Dalam Negeri.

Tetapi untuk kementerian-kementerian lain, jelasnya, menjadi suatu keutamaan dan lebih bersesuaian sekiranya menteri yang dilantik adalah daripada kalangan ahli Parlimen yang berkelayakan dan mencatat kemenangan pada PRU15.

“Biarpun isu Senatorship ini menjadi perbualan, namun senarai anggota jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat agak seimbang dari segi jumlah wakil semua parti gabungan dan paling penting penyertaan semua kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Memahami cabaran dihadapi oleh Perdana Menteri memilih anggota jemaah menteri agak sukar kerana beliau berusaha mengecilkan saiz kabinet, tetapi dalam masa yang sama terpaksa mengambil kira permintaan daripada semua parti gabungan serta memastikan keanggotaan semua kaum dalam kabinet baharu ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here