50 kawasan berisiko banjir di Selangor

0
216

KERAJAAN Selangor mengenal pasti kira-kira 50 kawasan titik panas (hotspot) yang berkemungkinan berdepan dengan risiko banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim, bagaimanapun berkata, jumlah itu bergantung kepada keadaan semasa cuaca dan boleh berubah dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, lebih 50 kawasan dikenal pasti, namun banjir juga boleh berlaku di tempat lain.

“Sebab itu, kita ada pengurusan sumber air secara menyeluruh yang perlu dilaksana untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA), yang berkait dengan longkang dan saliran serta inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) ditekankan dalam pelaksanaan ini,” katanya memetik BH Online.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan berhubung jumlah kawasan titik panas banjir di Selangor pada Sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri menggunakan pam air jenis ‘submersible’ di kunci air berikutan kapasitinya yang besar.

“Pam ini berkapasiti tinggi dan perlu ditempah enam bulan ke setahun. Penentuan jenis pam bergantung pada keluasan kawasan atau anggaran ramalan air bertakung dan mengalir.

“Biasanya, untuk kawasan sensitif perlu sediakan lebih daripada satu pam sebagai persediaan jika rosak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here